Quantcast
Channel: MUAFAKAT » Uthman El-Muhammady
Viewing all articles
Browse latest Browse all 10

Uthman El-Muhammady: Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam

$
0
0

Klik untuk maklumat Seminar

Teks Ucap Utama bertajuk: Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Untuk versi mesra cetak sila klik di sini – format pdf

***************** 

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam

 

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

ISTAC, IIUM, MIM, Yayasan Karyawan

1. Bi-‘aunika ya Latif! Yang dimaksudkan ‘teras induk’ di sini ialah ia sesuatu dasar yang terpenting, sebagai ‘ibu’ yang berupa ‘paksi’ yang di atasnya berlegar pengembangan kebenaran agama dan natijah-natijahnhya dalam masyarakat umat manusia. Sebab itu ia berupa tugas para anbia dan rasul serta para hukama dan ulama dalam seluruh zaman dalam sejarah bani Adam mulai dari Adam alaihissalam hingga ke zaman nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam.

 

Dasar tentang dakwah

2. Ayat-ayat yang menyentuh dasar dakwah termasuk amar ma’ruf dan nahi munkar yang penting ini (yang berupa sebahagian daripada kurnia Tuhan kepada nabi salla Llahu ‘alaihi wa sallam pada malam Isra’ Mi’rajnya bersekali dengan Islam, jihad, hijrah, amar makruh nahi munkar, sadaqah, hijrah , sudah tentu sembahyang, asas-asas pembinaan peradaban rabbani) antaranya ialah ayat { وَلْتَكُن مِّنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنْكَرِ وَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ } yang bermaksud ‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (ali ‘Imran: 104).

3. Antaranya juga ialah ayat yang menyebut tentang jati diri umat ini sebagai ‘umat terbaik yang dikeluarkan untuk kebaikaikan umat manusia yang melakukan seruan da’wah dalam ayat { كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُمْ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَاسِقُونَ } yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.’’ (ali ‘Imran: 110). Dari ayat ini jelas umat ini adalah umat da’wah sebagai ciri utamanya untuk direalisasikan bagi kebaikan umat manusia seluruhnya.

4. Bersekali dengan jati diri umat yang demikian ada pula ialah realiti umat ini sebagai umat menengah yang utama dan adil (ummatan wasata) dalam ayat (وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِي كُنتَ عَلَيْهَآ إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلاَّ عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ) yang bermaksud: ‘Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan (ummatan wasata) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia’(al-Baqarah :143). Dinyatakan dalam Tafsir Baidhawi tentang umat ini sebagai umat menengah yang utama dan adil supaya ia menjadi saksi atas umat manusia dan menyampaikan seruan dakwah dan nasihat kepada mereka; maka sebagaimana Rasul adalah saksi bagi umat ini maka umat ini pula adalah saksi atas umat manusia. (أي لتعلموا بالتأمل فيما نصب لكم من الحجج، وأنزل عليكم من الكتاب أنه تعالى ما بخل على أحد وما ظلم، بل أوضح السبل وأرسل الرسل، فبلغوا ونصحوا. ) (Tafsir Baidhawi jilid 1, 195. Dar al-Kutub al-Arabiyyah al-Kubra, Kahirah, tanpa tarikh, naskhah yang digunakan untuk pengajaran di Azhar tahun ke 6).

5. Yang jelas lagi kenyataan tentang umat ini, umat yang memiliki Quran untuk menjadi penunjuk ‘neraca’ –oleh itu dakwah kepada manusia – ialah ayat {وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَابَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلْكِتَابِ وَمُهَيْمِناً عَلَيْهِ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجاً وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَآ آتَاكُم فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَاتِ إِلَىٰ الله مَرْجِعُكُمْ جَمِيعاً فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ } yang bermaksud: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya ( مهيمنا عليه ). Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya’ (al-Ma’idah: 48).

6. Jelas dalam ayat ini umat Islam berkewajipan untuk berpegang kepada Quran (dan Sunnah yang datang bersekali dengannya) serta menjadikan Quran sebagain neraca untuk membezakan apa ajaran yang benar dan apa yang tidak benar dan menunjukkan kepada umat manusia apa yang benar dan apa yang sebaliknya; mereka adalah umat yang sepatutnya mempunyai kriteria intelektuil dan kerohanian untuk dijadikan pedoman bagi manusia (erti luas bagi مهيمنا عليه ), jangan ia menjadi pengikut aliran-aliran yang tidak menentu sama ada yang datang dari dalam negara atau luar negara, dari dalam umat atau dari umat lain. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dalam perlembagaan Madinah bahawa mereka hidup aman damai dengan umat lain; kalau dalam kalangan kita di Malaysia kita hidup dalam keadaan aman dan harmonis antara kita dan umat lain dalam negara yang tercinta (‘in peace and harmony’) sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara ini; tetapi ingat-ingat jangan kita hilang pedoman sebab kita mesti menjalankan tugas sebagai ‘muhaiminan ‘alaihi’ dalam hubungan dengan ajaran agama yang kita terima dari para nabi a.s.s. khususnya dari nabi Muhammad salla’llahu ‘alaihi wa sallam. Bagi kita contoh hidup dengan aman dan damai dengan pemluk agama lain, selain daripada contoh zaman baginda dan para khalifah, ialah contoh di Andalusia, antaranya sebagaimana yang digambarkan dalam buku ‘The Ornament of the World’ oleh Maria Rosa Menocal dari Harvard; saya menyebut ini kerana ia datang dari pengakuan sarjana Barat yang menegaskan keadaan hidup harmonis dan aman damai untuk menjadi tauladan itu. Tetapi kita tahu bahawa keadaan di Andalusia berakhir dengan malapetaka kerana perpecahan dalaman sesama Muslimin dan pihak lain mengambil peluang untuk memporak-perandakan umat. Berwaspadalah.

7. Berkenaan dengan da’wah juga khususnya ayat yang selalu disebut-sebut, memang tepat, ialah ayat (ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ ) yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (al-Nakhl: 125).

8. Dalam ayat ini seruan itu berlaku dalam tiga tahap, tahap hikmah kebijaksanaan bagi mereka yang layak digunakan kaedah itu, tahap nasihat yang baik bagi mereka  yang patut digunakan kaedah nasihat yang baik itu, tahap menggunakan kaedah ‘berbahas’, ‘berhujah’ dengan mereka yang agak keras hati dan sesuai diseru dengan kaedah itu. Ini memerlukan orang-orang yang mempunyai persiapan untuk melakukannya; ada orang yang mampu menggunakan ‘hikmah kebijaksanaan’ kerana ia ‘memiliki hikmah kebijaksanaan’ (bukan ‘taktik dan strategi’ yang biasa disuarakan) dengan ilmunya yang mantap dan jiwa yang halus serta faham yang jitu, dengan kehalusan rasa menyelam jiwa dan pemikiran orang; bertuahlah orang yang bertemu dengan orang yang sedemikian; ada orang yang bersedia untuk melakukan nasihat yang baik kerana bahasanya beradab, memberansangkan, menggembirakan, juga ‘menakutkan’ secara wajar, dengan kisah-kisah menarik, dengan niat yang ikhlas untuk membawa manusia melihat kebenaran; bertuahlah orang yang bertemu dengan orang yang sedemikian. Ada orang yang ilmunya mantap, fahamnya betul dan jelas, cahara berbicaranya teratur dengan mantiknya yang baik, ilustrasinya kena pada tempatnya, hujahnya halus dan tajam, menusuk akal dan kalbu, ia bukan hendakkan kemenangan tetapi hendak berkongsi fahaman tentang kebenaran, ia melakukan itu dengan kasihan belas, bukan dengan dendam dan benci; berjayalan orang yang mempunyai persiapan dan kemahiran sedemikian, amin.

9. Hadith yang membawa pengertian tentang da’wah juga ialah hadis yang biasa disebut-sebut iaitu:

منرأى منكم منكرا فليغيره بيده .فإن لم يستطع فبلسانه .ومن لم يستطع فبقلبه .وذلك أضعف الإيمان

)الراوي: أبو سعيد الخدري -: مسلم -: الصحيح)

Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya (atau kekuasaannya), kalau ia tidak berupaya melakukan demikian, ubahlah dengan percakapannya, kalau tidak mampu (juga) ubahlah dengan kalbunya (dalam hatinya) itu adalah sedhaif-dhaif iman. (sahih Muslim, Abu Said al-Khudri).

10. Antaranya ialah hadith berikut iaitu:

لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم ثم يدعوا خياركم فلا يستجاب لهم حديث لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم ثم يدعوا خياركم فلا يستجاب لهم أخرجه البزار من حديث عمر بن الخطاب والطبراني في الأوسط من حديث أبي هريرة

Maksudnya: benar-benar kamu akan menyuruh kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak akibatnya) Allah akan meletakkan atas kamu orangorang yang paling jahat kemudian orang-orang yang baik-baik berdoa (kepada Allah) tetapi tidak dimustajabkan doanya –dikeluaran oleh al-Bazzar dari hadis ‘Umar bin al-khattab dan al-Tabarani dalam al-Ausat dari hadis Abu Hurairah.Hadis  yang bermaksud hampir sama ada riwayatnya iaitu hadits:

وللترمذي من حديث حذيفة نحوه إلا انه قال أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا منه ثم تدعونه فلا يستجيب لكم قال هذا حديث حسن معناه تسقط مهابتهم من أعين الاشرار فلا يخافونهم

Maksudnya ada hadis riwayat dari Tirmidhi sepertinya melainkan katanya-katanya (bermaksud) Atau hampir-hampirlah Allah akan timpakan azab hukuman atas kamu (kerana tidak melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar) kemudian kamu berdoa kepadanya tetapi tidak dimustajabkan doanya.Katanya ini hadis hasan.Dengan itu maka kehebatan mereka hilang pada pandangan mereka yang jahat lalu mereka tidak merasa takut lagi terhadapnya. (Hadis ini disebutkan di bahagian awal kitab ‘amar ma’ruf dan nahi munkar Ihya’ Ulum al-Din oleh al-Ghazali). Dijauhkan Allah keadaan sedemikian ini.

Da’wah para anbia

Dalam Qur’an dinyatakan kisah-kisah sejarah para anbia dengan seruan dakwah mereka, Nuh, Salih, Ibrahim, Musa, Yusuf, Yunus, Sulaiman, ‘Isa, Musa, dan Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dengan umat mereka masing-masing, yang kisahnya terlalu terang dalam Quran. Kemudian dalam sejarah umat ini da’wah dilakukan oleh para mujaddid, imam-imam-mujtahid, para ulama dan ilmuan serta da’i sepanjang zaman. Sejarah itu tidak kita sentuh di sini. Dakwah perlu dilakukan oleh para ulama dan ilmuan demikian juga orang awam mengikut kadar masing-masing tetapi dengan mempunyai persiapan yang seperlunya.

Syarat-syarat dan cara berdakwah

11. Tentang syarat-syarat da’wa itu secara ringkasnya boleh diingatkan syarat pengetahuan agama yang memadai tentang Quran dan Sunnah, akidah, Syariat, akhlak, sejarah, dan sirah, juga pendedahan tentang ilmu dakwah; termasuk ke dalam persiapan ini ialah pengetahuan tentang aliran-aliran pemikiran semasa yang menjadi penghalang kepada dakwah. Selain daripada ilmu pengetahuan ialah syarat pembentukan peribadi da’i yang teguh dan baik supaya ia mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran yang ada sama ada cabaran yang menyentuh ilmu atau juga cabaran moral. Ada orang yang boleh berhadapan dengan cabaran ilmu, tetapi tidak mampu berdepan dengan cabaran moral, Allahumma sallimna wal-Muslimin.

12. Dakwah boleh dilakukan secara lisan, tulisan, kalau sekarang melibatkan penggunaan internet, e-mail, facebook, twitter dan yang sepertinya. Dakwah berlaku melalui contoh kehidupan yang amali yang menunjukkan contoh yang baik berdasarkan ‘uswah hasanah’ yang kemuncak keunggulannya ada pada Rasulullah salla’Llahu ‘alaihi wa sallam. Contoh itu terutamanya ada para hidup peribadi dan keluarga serta juga hidup masyaraklat Muslimin sendiri. Kekurangan-kekurangan yang ada dalam segi-segi tersebut perlu diatasi oleh semua orang yang beriman. Kalau menyebut tentang penulisan maka timbullah keperluan kepada penulisan yang baik tentang ajaran Ahli Sunnah dan penerangan tentang aliran-aliran yang mencabarnya. Dalam hubungan dengan persiapan sedemikian perlu juga disentuk keperluan menguasai setakat yang diperlukan pemikiran yang mencabar Islam yang datang dari luar seperti cabaran pascamodernisme, modernisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sepertinya, selain daripada cabaran pegangan-pegangan sesat dalam masyarakat, atau cabaran  dari aliran Syiah dan aliran yang senang menuduh orang Ahli Sunnah sebagai ahli bid’ah tetapi itu disebut sebagai reformasi pemikiran. Maha suci Allah. Lagi pula adakah negeri-negeri yang mengikut kaedah seperti itu menunjukkan bukti kejayaan yang boleh diikuti keunggulannya?

13. Meneruskan bicara tentang dakwah perlu ditekankan ini, yakni da’wah ialah menyeru orang ramai menegakkan agama, menguatkannya, menjaganya daripada gangguan, menerukan keberadaan dan perlaksanaannya dalam umat, ini tugas utama, sebab alam ini dijadikan demi untuk menjadikan manusia mengenal Tuhan, tunduk kepadanya dan beribadat kepadanya serta melakukan amal salih yang menjadi kesejahteraan manusia di dunia dan juga di alam abadi.

14. Ini jelas dalam ayat-ayat Quran seperti {ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَٰوَٰتٍ وَمِنَ ٱلأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ ٱلأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِّتَعْلَمُوۤاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْماً } yang bermaksud ‘Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu’ (al-Talaq:12); satu lagi ialah ayat yang menunjukkan alam ini dan hidup manusia adalah untuk menjayakan ibadat kepada Allah dalam ayat {وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ} yang bermaksud “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ‘(al-Dzariyat: 56); satu lagi ayatnya ialah {ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ } yang bermaksud ‘Dialah [Tuhan] yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);‘ (al-Mulk: 2). Jelas dalam ajaran Qur’an bahawa alam dijadikan untuk memberi kepada manusia ni’mat mengenal Tuhan, beribadat kepada-Nya dan juga melakukan amalan salih yang menjadikan hidupnya bermakna dan mendatangkan kepuasan dan kebahagiaan yang sesungguhnya. Amalan-amalan lain yang dilakukan oleh manusia memberi erti dan makna dalam konteks pandangan hidup yang sedemikian. Maka seruan dakwah ialah seruan kepada kehidupan yang sedemikian.

15. Dengan itu maka yang disampaikan ialah kebenaran-kenbenaran agama dalam akidah, ibadat, muamalah, akhlak, cara kehidupan, dengan cabaran-cabaran semasa yang ada. Termasuk ke dalamnya mempertahankan kebenaran agama dalam pelbagi bidangnya serta mendepani aliran-aliran faham yang bercanggah dengannya, baik yang berbentuk tradisional atau baru, yang datang dari luar atau dari dalam masyarakat islam sendiri; termasuk ke dalam perkara ini ialah aliran-aliran dari luar tajaan pihak asing yang mahu menggangu kehidupan umat dan negara; maka da’i perlu ada kepekaan dalam perkara ini.

16. Golongan-golongan yang ditujukan sebagaimana yang ada dalam ‘al-Da’wah al-Tammah’ oleh Syeikh ‘Abdullah al-Haddad, (terbitan Dar al-Al-Hawi,tahun 2000); da’wah perlu dilakukan kepada semua golongan ahli masyarakat; disebut oleh beliau da’wah itu hendaklah ditujukan kepada golongan ulama’ (hal. 53 dan seterusnya), para ahli ‘ibadat dan orang-orang zahid (hal. 89 dan seterusnya), para umara dan salatin serta mereka yang menjaga urusan am (wulat al-umur) Muslimin (hal. 125 dan seterusnya), ahli perniagaan, pertanian dan pertukangan (hal. 153 dan seterusnya), orang-orang fakir dan dhaif serta mereka yang terkenal bala (hal. 179 dan seterusnya), da’wah kepada mereka yang menjadi pengikut-pengikut di bawah jagaan orang yang berpengaruh, termasuk kanak-kanak, para wanita dan hamba orang (sekarang diharamkan oleh undang-undang) (hal. 199 dan seterusnya), da’wah kepada orang-orang yang taat dan juga yang melakukan maksiat (hal. 225 dan seterusnya). Dengan itu semua ahli masyarakat menjadi tumpuan da’wah demi untuk menjayakan agama dan umat dengan erti yang sebenarnya; dan beliau menjadikan amalan da’wah perjalanan hidupnya, Allah memberi rahmat kepadanya, amin. Kitab ini panduan yang sangat memberansangkan bagi para da’i. Ini adalah selain daripada tambahan-tambahan kitab da’wah yang boleh dimunafaatkan daripengarang-pengarang dan da’i zaman kini, seperti kalau di Dunia Melayukita sebutkan Pak Natsir dan Hamka dan yang sepertinya termasuk Syeikh Ahmad al-Fatani dan lainnya. Dan mereka ini hendaklah dilakukan da’wahnya oleh mereka yang layak baginya, mereka yang ada persediaan dari segi ilmu, peribadi, serta kemahiran da’wah dengan ikhlasnya. Kita perlu mencari jalan untuk menjayakan da’wah kepada semua golongan seperti ini, yang memang merupakan tugas umat yang amat berat untuk dilaksanakan, tetapi ia tugas yang mesti dipikul oleh mereka yang layak sebenarnya. Dan tidak harus kita mencari alasan untuk mengelak daripadanya dengan alasan kita tidak beramal dengan amalan yang cukup untuk bersikap sebagai da’i, sebab tiap-tiap orang perlu melakukannya, mengikut kadar kemampuannya. Termasuk ke dalam kategori mereka itu ialah golongan yang tidak membawa iman dan hidup dalam kesyirikan yang perlu diselamatkan; memang ini perlu dilakukan dengan cermat kerana keadaan dan suasana kepelbagaian budaya dan sistem kepercayaan yang ada di sekeliling kita.

 

Jalan ke Hadapan

17. Dalam menyebut tentang ‘jalan ke hadapan’ dalam hubungan dengan  da’wah di Malaysia, maka elok disebutkan beberapa perkara  yang perlu didepani bersama antaranya ialah:

Bagaimana dakwah menonjol dalam tahun-tahun tujuh puluhan melibatkan organisasi-organisasi bukan kerajaan dan penglibatan jabatan-jabatan kerajaan- yang kemudiannya menimbulkan usaha penerapan nilai-nilai Islam; demikianlah momentum berjalan seterusnya dengan kesan-kesannya masih ada sekarang walaupun ada berlaku beberapa darjah kekurangan pada tumpuan dan kegiatannya.Usaha seperti  ini perlu dibaharui semula dengan membetulkan tekad, matlamat, cara, dan penyusunan kerja, termasuk usaha menentukan keutamaan. Janganlah dikorbankan dakwah untuk kepentingan-kepentingan lain, termasuk soal percaturan yang melibatkan kekuasaan. Maha suci Allah.Kalau tidak kita akan berdepan dengan keadaan bilamana kata-kata Said Nursi rh menjadi penuh keabsahannya iaitu kata-kataاعوذ بالله من الشيطان الرجيم والسياسة : Aku mohon perindungan kepada Allah daripada Syaitan yang terkena rejam dan siasah’.

18. Kesan daripada kesedaran untuk mengembalikan ‘kesihatan’ umat, dan keperluan kepada pengetahuan dan dan dakwah, berlakulah apa yang kita lihat: Kemunculan institusi-institusi Islam, universiti-universiti, bank-bank Islam, takaful, sudah tentu Tabung Haji dengan prestasinya yang cemerlang, musalla-musalla di tempat awam, hingga ke pusat-pusat R&R di lebuh-lebuh raya, demikian seterusnya, kemudian selepas masa kecergasan itu, dengan ‘bulan dakwahnya’ dan lainnya usaha dakwah agak ‘menurun’. Mereka yang terlebat di dalamnya hidup dalam keadaan mewah atau agak mewah, dengan kesan-kesan yang memang dimengerti oleh mereka yang membaca falsafah sejarah seperti karangan ibn Khaldun, Toynbee, dan , bahkan Sejarah Melayu, tentang perubahan yang berlaku bila manusia mengecap kemewahan, walaupun bukan semua yang mengikuti jalan seperti itu, dan perkembangan lainnya.

19. Kemunculan fahaman–fahaman yang mencabar umat islam- golongan anti-hadith, golongan yang mendewa-dewan tokoh sehingga menganggapnya akan menjadi Mahadi, atau ‘wakil mahadi’, ‘kerajaan langit’ ‘nabi Melayu’ dan pelbagai lagi; timbul kesedaran tentang kelemahan umat dalam mengamalkan Ahli Sunnah wal-jamaah; dengan itu timbul usaha dalam penegasan kembali ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah secara nyata dengan melihatnya sebagai ‘akidah, epistemologi, dan kerangka peradaban, selain daripada pembicaraan tentang sifat-sifat Tuhan dan rasul dan yang berkaitan dengan keimanan, serta tajuk-tajuk tentang amal ibadat dalam hidup. Muncul sebutan tentang peradaban Islam dan pusat-pusatnya yang terpandu oleh ajaran Ahli Sunnah hingga ke hari ini dan rahmat Ilahi terpancar dari peradaban-peradaban sedemikian hingga ke hari ini. Dan ini perlu dijadikan neraca seutuhnya. Di celah-celah keadaan sedemikian timbul fahaman dari pihak-pihak tertentu yang mencemuh-cemuhkan amalan Muslimin di rantau ini –timbul golongan yang menyebut tentang gerakan ‘pembaharuan’ tetapi melibatkan ‘qunut bid’ah’, tahill bid’ah, zikir beramai-ramai bid’ah, tasawwuf bid’ah, sembahyang mengikut imam mazhab bukan mengikut sembahyang nabi, mengaji usul al-din dan ilmu kalam seperti yang dibuat oleh ulama Ahli sunnah bid’ah- dan pelbagai lagi, -bagaimanakah cara berfikir seperti ini dikatakan sebagai ‘pembaharuan’ dalam pemikiran dan peradaban, walhal masalah-masalah yang menghantui umat sedemikian banyaknya- Islam Liberal, pluralisme agama, Islam agama keganasan, penghinaan terhadap nabi, bahkan ‘thesis Max Weber’ tentang Islam belum diselesaikan; kata beliau dalam bukunya ‘Economy and Society’ dan tulisan-tulisan lainnya membuat komen-komen negative tentang undang-undang Islam; kalau diamal aturan Syarak ikut Islam tak ada keadilan, yang ada ‘keadilan tok kadhi’ (kadhi justice’), seperti kadhi duduk di pasar menyelesaikan kes-kes  begitu sahaja secara ad-hoc, konon katanya ‘keadilan to’ kadhi’, keputusan undang-undang tak teratur, tak boleh diandaikan sebab undang—undang islam ‘tidak rasional’ dan manusia tidak akan maju, yang maju hanya bila ada undang-undang yang rasional, undang-undang Syarak tidak rasional katanya, demikian seterusnya. Maka suci Allah. Alhamdulillah Negara ini, berkat kerjasama umat dan ulil-amri, jelas thesis Max Weber itu tidak benar. Dan terbukti dalam penyelidikan Haim Gerber dalam bukunya State Society in Islam bahawa tohmahan Max Weber meleset bila diteliti fakta-fakta sejarahnya; tetapi sangkaan Weber itu masih terus berjalan terutama di kalangan meraka yang bukan Islam dan yang terpengaruh dengan konsep seperti itu dalam negara ini dan kita Muslimin tidak bermuafakat untuk menyelesaikannya, tetapi kita bercakap tentang reformasi pemikiran dan macam-macam lagi tajuk yang besar-besar namanya. Maha suci Allah.

20. Mendepani cabaran-cabaran Islam Liberal, yang mengajar tidak ada ‘hukum Tuhan’, ‘tidak ada keistimewaan nabi Muhammad’, ‘wahyu berterusan walaupun orang menulis dalam akhbarpun dari wahy’ ‘aturan-aturan hukum agama itu untuk zaman lampau’ demikian seterusnya, dan Pluralisme Agama yang mengajarkan semuanya sama, sama benar, semua membawa ke syurga seperti dakwaan John Hick misalnya dalam bukunya ‘Pholosophy of Religion’ yang mula ada pengikutnya di negeri ini, Kesatuan Transcendent Agama-agama, fahaman Frithjof Schuon kononnya berasaskan metafisika yang berada pada bahagian inti agama-agama, yang mengatasi bentuk rupa lahiriah agama (the external forms of religions) itu perlu diselesaikan dengan berkesan sebab ia membawa Muslimin kepada kemurtadan dan kekufuran, dijauhkan Allah. Yang parahnya ada pihak-pihak yang mengatakan ini diajarkan oleh ulama Islam dahulu seperti ibn Arabi, Jalaluddin Rumi, dan ada yang memasukkan nama Abd al-Ghani al-nablusi ke dalam senarai itu dan lain –lain lagi. Teringat saya kepada da’i wanita terkenal itu Puan Maryam Jameelah katanya bila ia kenal isteri ketiga tokoh pembentang ‘kesatuan transenden agama-agama’ itu dia malu dengan buku-buku karangan tokoh itu, walaupun dahulunya beliau terpengaruh dengannya; ini dinyatakan dalam wawancaranya dalam sebuah majalah Islam di Pakistan tidak lama sebelum ini.

21. Konsep-konsep baru tentang neo-kapitalisme, hidup berdasarkan kepada ‘conspicuous consumerism’, suka membeli dan menggunakan barang-barang untuk menunjuk-nunjuk, yang membawa malapetaka, ‘the curse of the third generation’ kata mereka, bagi kita itu bukan semestinya ‘curse’ tetapi keadaan di mana kita berhadapan dengan ujian dalam kehidupan dan sejarah hidup manusia dengan kemewahannya; bila generasi ketiga merasai ni’mat dan seterusnya ‘lupa daratan’. Ini disebut oleh ibn Khaldun dalam Mukaddimahnya bila ia berbicara tentang generasi-generasi umat manusia dalam mengalami tahap-tahap perkembangannya.

22. Kesilapan fahaman tentang sekularisme dan ‘asabiyyah yang membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri, hingga putus silaturrahim, tanpa alasan ilmiah yang tepat dan teguh, berdekad-dekad lamanya, keperluan berwaspada terhadap dana asing yang boleh menimbulkan huru hara dalam negara (walaupun pada mulanya tidak kelihatan demikian, tetapi ia berpotensi menimbulkan keadaan huru hara itu atas nama ‘kebebasan manusia sejagat’, ‘usaha menegakkan demokrasi’ dan yang sepertinya. Teringat kita kepada kata-kata seorang bekas pemimpin dalam SUHAKAM yang menyebut bahawa setengah pihak mendapat dana dengan memberi gambaran yang negatif tentang negeri sendiri, semakin buruk gambaran yang diberikan, semakin banyak dana yang didapati dari luar. Maha suci Allah.  

23. Perlu kepada usaha-usaha dakwah yang menjurus kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai dalam wacana arus perdana Islam; kembali kepada ajaran arus perdana yang meliputi seperti yang tersebut tadi bersekali dengan pengajaran tentang adab ikhtilaf yang sangat diperlukan, supaya dielak daripada ikhtilaf yang membawa kepada perpecahan.

24. Perlu ada usaha sungguh-sungguh untuk mengelak daripada kekurangan-kekurangan atau kesilapan-kesilapan (kalau ada) yang telah lalu dengan cara bermuafakat atas dasar kasih sayang dan bukan dengan cabar-mencabar yang memecah-belahkan umat;

25. Hendaklah dielak daripada membuat tuduhan melulu sesama Islam bahawa berlaku perlaksanaan sekularisme Barat, tanpa mengambil pengajaran sebenar daripada erti yang tepat istilah itu dalam tamadun asalnya lalu membawa kepada kegawatan pemikiran dan timbul masalah sosial dan lainnya. Perkara seperti ini sampai termasuk ke dalam alam academia seperti misalnya yang ada dalam buku ‘Nationalism and Globalization East and West’ diselenggarakan oleh Leo Suryadinata, terbitan di Singapura, tahun 2000, lihat bab berkenaan dengan Malaysia tulisan seorang ahli akademik tempatan di salah sebuah universiti tempatan kita. Kita hanya mengurut dada mengeluh panjang dan beristighfar melihat gelagat ahli umat ini yang meletak pisau dileher bangsanya sendiri menyangka itu kenyataan ilmiah. Maha suci Allah.

26. Timbul keperluan untuk mengelak daripada terpesona dengan teori-teori dari tokoh-tokoh tertentu dan melupai ajaran menyeluruh arus perdana umat Islam dan panduan intelektuil dan rohaninya; usaha memahami ajaran arus perdana ini perlu dilakukan, bersekali dengan memahami trend semasa, kerana ini sahaja yang mampu memberi kekuatan kepada umat dan negara dan menunjukkan arah yang menyelamatkan kita, agama dan Negara serta umat. Amin.

27. Perlu diulangi kemestian ada usaha memupuk perpaduan dan mengelak daripada perpecahan bila berusaha menegakkan agama sebab menegakkan agama jangan dengan berpecah-pecah belah sebab itu ayat tentang menegakkan agama bersekali dengan ayat jangan berpecah-belah (huraian Fakhr al-Din al-Razi). Ayatnya ialah ayat 13 Surah al-Syura, yakni yang bermaksud: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” (al-Syura: 13). Perkataan ‘tegakkan agama (iqamamah al-din) disebutkan bersekali dengan ‘jangan berpecah di dalamnya’.Kata Imam Fakhr al-Din al-Razi rh dalam ‘Tafsir al-Kabirnya tentang ayat ini (bahagian ‘jangan berpecah itu dengan kata-kata:

قوله تعالى: أَنْ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلاَ تَتَفَرَّقُواْ فِيهِ } مشعر بأن حصول الموافقة أمر مطلوب في الشرع والعقل، وبيان منفعته من وجوه الأول: أن للنفوس تأثيرات، وإذا تطابقت النفوس وتوافقت على واحد قوي التأثير الثاني: أنها إذا توافقت صار كل واحد منها معيناً للآخر في ذلك المقصود المعين، وكثرة الأعوان توجب حصول المقصود، أما إذا تخالفت تنازعت وتجادلت فضعفت فلا يحصل المقصود الثالث: أن حصول التنازع ضد مصلحة العالم لأن ذلك يفضي إلى الهرج والمرج والقتل والنهب، فلهذا السبب أمر الله تعالى في هذه الآية بإقامة الدين على وجه لا يفضي إلى التفرق

firman Allah taala yang bermaksud ‘Hendaklah kamu dirikan agama dan jangan berpecah belah di dalamnya: difahami bahawa terhasil muafakat itu perkara yang dituntut pada sisi Syara’ dan akal, dan menafaatnya ada beberapa segi: jiwa manusia mendatangkan kesan, bila jiwa mereka menjadi tersusun [melalui fahaman misalnya] dan bermuafakat tentang sesuatu [matlamat] maka menjadi kuatlah kesannya; keduanya bila bersepakat maka jadilah tiap-tiap seorang (atau satu jiwa itu) membantu yang lainnya dalam matlamat yang tertentu itu, dan banyaknya bantuan memestikan terhasil maksud [yang dikehendaki]; bila berlaku perbezaan dan perselisihan dan berlaku jidal atau perbahasan timbul kelemahan  dan maksud tidak terhasil; ketiganya dengan berlakunya perselisihan maka itu berlawanan dengan kemaslahatan alam kerana itu membawa kepada perpecahan dan konflik, pembunuhan dan kemusnahan harta benda; kerana itu Allah menyuruh dalam ayat ini supaya mendirikan agama dengan cara yang tidak membawa kepada perpecahan (al-tafarruq). (Tafsir al-Kabir, al-Syura ayat 143, juz 27, hal. 157 percetakan pertama Medan Jami’ al-Azhar, Kahirah, tanpa tarikh). Maka dalam urusan dakwah hendaklah jangan ada perpecahan terutama dari segi fahaman agamnya dan perjuangannya, walaupun kumpulan boleh berlainan, seperti mazhab dalam Ahli Sunnah wal-jamaah. Dan ketiadaan berpecah ini penting sekali, sebab itu ayat berkenaan dengan mendirikan agama ini disekalikan dengan sebutan ‘jangan berpecah’.

Dan perbincangan ini membawa kita kepada surah ali ‘Imran ayat 103 hingga ayat 108:

[3: 103] Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

[3: 104] Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

[3: 105] Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

[3: 106] (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu.

[3: 107] Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

Tentang mereka yang muka berseri-seri putih itu maksudnya ‘Ahli Sunnah wal-Jamaah’ dan yang hitam muka itu adalah mereka yang terseleweng daripadanya dan berpegang kepada aliran yang mengikut hawa nafsu mereka. Ini dijelaskan dalam tafsirnya seperti berikut:

وقوله تعالى: { يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ } يعني: يوم القيامة، حين تبيض وجوه أهل السنة والجماعة، وتسود وجوه أهل البدعة والفرقة، قاله ابن عباس رضي الله عنهما،  { فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكْفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ } قال الحسن البصري: وهم المنافقون. )

Ertinya: Firman Allah taala: pada hari itu setengah muka manusia putih setengahnya hitam, yakni pada hari kiamat, muka yang putih ialah Ahli Sunnah wal-jamaah dan yang mukanya hitam ialah golongan ahli bid’ah [keluar daripada ahli sunnah] dan firqah lain [daripadanya], demikian kata ibn ‘Abbas radiyaLlahu ‘anhuma. Mereka yang hitam mukanya, adakah kamu kafir selepas daripada beriman, kata Hasan al-Basri mereka golongan munafiqin [seperti Abdullah bin Ubayy); (Tafsir ibn Kathir, melalui altafsir.com. - akses 03-10-2012).

[3: 108] Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

28. Mengelak daripada melihat isu siasah mengikut kacamata yang terpengaruh dengan aliran liberal Barat atau mengikut kacamata terpengaruh dengan tokoh-tokoh tertentu melupakan ajaran arus perdana Islam yang membawa kepada perpecahan dan kekaburan fahaman.

29. Membetulkan hubungan antara orang ramai dengan ulil-amri sebab hukum berkenaan dengan ulil-amri masih kekal dan ada keabsahan hingga sekarang, kalau tidak dakwah terbantrut dalam perkelahihan antara orang ramai dan ulil-amri atas nama perjuangan tetapi itu mekmakan diri sendiri dan mendatangkan malapetaka. Dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah ketaatan kepada ulil-amri terus berjalan dan mereka tidak boleh ditentang –al-khuruj alal-‘imam adalah haram (الخروج على الامام حرام )dengan ijma’- dan kalau ada perkara-perkara yang ‘tidak kena’ maka hendaklah dilakukan al-din al-nasih dengan syarat-syarat dan adab-adabnya.  Keluar menentang imam hanya dibenarkan berlaku bila zahir kufur yang nyata daripadanya secara tidak boleh ditakwil-takwil lagi. Demikianlah caranya kerjasama antara ulil-amri dan orang ramai berjalan dalam umat.Ajaran menentang ‘imam’ berdasarkan ajaran dar pemikiran liberal dari luar yang membawa kepada kekacauan adalah ditegah dalam agama, dan mereka yang melakukannya sudah banyak terbukti mudharatnya yang tidak padam-padam.Umat wajib diajak kembali kepada ajaran Ahli Sunnah melalui  da’wah yang berterusan secara teratur dan berkesan  bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja; ia perlu berterusan sebagaimana hidup manusia adalah berterusan, hingga  sampai ajal mereka. Bangkang semata-mata kerana membangkang kerana hendak menjadi ‘watch dog’ dalam erti pemikiran yang datang dari luar terlarang dalam agama.

30. Dan perlu ditambah: ini bukan soal feudalisme atau soal modernisme sebagaimana yang terfikir oleh setengah pihak, ia prinsip dalam Ahli Sunnah yang diijmakkan berkurun-kurun lamanya dan ia diperlukan oleh umat, dengan ada asalan-alasan nakal dan akal, alasan nas dan alasan intelektuil, ia bukan soal bukan ketinggalan zaman. Mereka yang terpengaruh dengan simpang siur pemikiran Barat (seperti yang digambar oleh Frederick Copleston dalam ‘History of Philosophy’nya dalam beberapa jilid itu atau Will Durant dalam ‘Story of Philosophy’nya dan Bertrand Russell dalam History of Philosohy’nya); orang-orang kita yang terpengaruh seperti itu perlu didedahkan kepada simpang siur pemikiran itu dan akibat-akibatnya hingga sekarang dengan secara objektif dan membandingkannya dengan kestabilan wacana arus perdana Islam dengan ciri-cirinya secara penuh sedar dan objektif. (Lihat misalnya keadaan simpang siur sekarang dengan pihak-pihak yang mencanangkan nilai-nilai dan gaya hidup LGBT serta pluralisme dan liberalisme agama dan seterusnya dengan akibat-akibatnya yang sedemikian mencengangkan kita, mengharu-birukan hidup keluarga dan masyarakat, digabungkan itu dengan konsep kebebasan manusia dan hak-hak sarwajagatnya mengikut kacamata pihak luar dengan tidak mempedulikan nilai-nilai Islam dan peradaban Timur. Maha suci Allah.

31. Ayat tentang bertaqwa kepada Allah dan bertaqwa menjaga hubungan rahim (huraian Baidhawi tentang ittaqu’Llah dan ittaqur-rahim), kalau melalkukan taqwa kepada Allah kemudian rosak hubungan rahim itu tidak dibolehkan. Ayat itu ialah ayat berkenaan taqwa di awal surah al-Nisa’ Ayatnya ialah (يٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمْ مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَآءً وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِ وَٱلأَرْحَامَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً ) yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’:1). Tentang ayat yang pertama yang menyebut taqwa kepada Allah yang namanya disebut untuk memhohon keperluan kamu disebut dalam tafsir Baidhawi (أي اتقوا الله واتقوا الأرحام فصلوها ولا تقطعوها) yakni bertaqwalah kepada Allah dan bertaqwalah dalam menjaga hubungan rahim, maka hendaklah dihubungkan rahim dan jangan memutuskan hubungan itu. Dan bila ini dihubungkan dengan erti kekeluargaan secara luas ia mencakupi bangsa dan kemaslahatannya yang disuruh oleh Quran dan Sunnah. (Tafsir Baidhawi, jilid 2, hal. 64, Dar al-Kutub al’-Arabiyyah al-Kubra, Kahirah, tanpa tarikh).

32. Isu jangan mengatakan semua manusia sudah rosak semua, ini keadaan yang amat berat sekali. Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dalam bukunya yang sangat indah dan penuh pengajaran yang tepat untuk da’i menganjurkan supaya dilakukan da’wah kepada semua golongan demi menjayakan agama dan menyempurnakan amalannya dalam bukunya yang terkenal ‘al-Da’wah al-Tammah wa al-Tadhkirah al-‘Ammah’, terbitan Dar al-Hawi, tahun 2000.

33. Gerakan dakwah perlu disemarakkan oleh NGO-NGO Islam dengan dana-dana yang mencukupi, dakwah yang teratur, terancang, melibatkan semua peringkat, supaya lahir masyarakat yang beramal dengan islam yang teguh Islamnya, dalam masa yang sama hidupnya harmonis dengan pihak agama lain dan para penganutnya, ‘dalam aman dan harmonis’ (in peace and harmony) sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia. Ke dalam gerakan dakwah ini perlu dimasukkan rangka kerja dan panduan dalam dialog antara para pengikut sistem-sistem kepercayaan yang ada di negara ini demi tujuan mencapai keharmonian hidup bersama.

 

Kesimpulannya

34. Dalamperbincangan yang berlaku ini telah ditelusuri secara ringkas masalah kepentingan dakwah dalam umat, keperluan kepadanya, syarat-syarat dan caranya, kesannya yang telah berlaku dalam negara kita, dan beberapa unsur yang perlu didepani dalam jalan ke hadapan. Mudah-mudahan seruan dakwah kita berjalan dengan ‘inayah Allah taala dan terpandu pada pada jalan yang lurus tanpa tergendala, amin.

35. Dengan izin Ilahi diharapkan –Allahumma amin- gerakan seruan dakwah ini akan berjalan terus menerus ke hadapan tanpa hentinya, selepas sekian lama suaranya tidak begitu kedengaran di kalangan kita; maka dengan seminar ini yang dirasmikan oleh TPM Tan Sri Mahyuddin Yasin, dengan jayanya, amin, dengan kertas-kertas mencakupi perbincangan tentang dakwah dan pengukuhan akidah oleh rakan kita Dr. Wan Adli Wan Ramli dari Akademi Islam, UM, tentang dakwah mendepani serangan pascamodernisme, oleh rakan kita Dr. Amran Muhammad dulunya dari UM, persoalan dakwah berhadapan dengan hegemoni Barat, oleh sahabat kita Prof. Dr. Sidek Baba, dari UIA, perbincangan tentang dakwah mendepani usaha pemurtadan umat di negara ini, oleh sahabat kita Sdr. A Karim Omar SUA MUAFAKAT, tentang dakwah sebagai medium integrasi nasional oleh rakan kita Dr. Muhammad Fuad Yeoh Abdullah, dari MACMA, perbincangan tentang dakwah Islamiyyah sebagai instrumen pembinaan tamadun, oleh sahabat lama kita Prof. Dato’ Paduka Mohamad Abu Bakar, perbincangan tentang penulisan kreatif dan kedudukannya dalam dakwah Islamiyyah oleh rakan gigih kita Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dari UPSI, dan sebagai ketua satu GAPENA, perbincangan tentang Dakwah Islamiyyah mendepani kemelut politik di Malaysia, oleh sahabat lama kita Datuk Nakhaie Ahmad, juga perbincangan bidang itu oleh rakan kita Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari Pusat Kajian Fiqh Kontemorari, YB Bachok, moga-moga Allah bangkitkan semula kedinamisan dakwah Islamiyyah di negara ini, amin, dan membawa dengannya kejayaan-kejayaan dakwah yang diredhai dan yang menyejukkan kalbu mereka yang beriman, menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita, amin ya Rabbal ‘alaimn. Wallahu a’lam. Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 10

Latest Images

Trending Articles